Wednesday, 4 May 2005

Siapa Ketua Pemuda Melaka yang baru?


Dewan Pemuda PAS Melaka bakal mempunyai ketua yang baru berikutan keputusan keputusan Azreen untuk melepaskan jawatan beliau sekarang. Pencalonan Dewan-dewan pemuda PAS Kawasan-kawasan telah dibuat. Diberitakan ada 2 orang telah dicalonkan untuk jawatan ini.

Nampaknya DPPN Melaka seperti juga DPPN Johor bakal memasuki era kepimpinan baru selepas hampir 2 penggal dipegang oleh Azreen. DPPN Johor dalam muktamar mereka minggu lalu telah menyaksikan ketua mereka sekarang Sdr. Mazlan Aliman telah melepaskan amanah kepimpinan kepada Sdr. Khairul Faizi selepas beliau memegangnya beberapa penggal. Mazlan khabarnya akan menumpukan perhatiannya kepada pemuda pusat dimana Insya Allah beliau akan bertanding jawatan Naib Ketua selepas jawatan ini dikosongkan oleh Ust. Misbahul Munir Masduki yang telah 'expired'. Azreen juga menyatakan bahawa beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian beliau kepada gerakerja PASTI pusat yang semakin mencabar sekarang.

Persoalannya siapakah ketua DPPN Melaka yang akan mengepalai gerak kerja pemuda negeri untuk menghadapi PRU 12 nanti. Khabarnya Us.Kamal (Kamaruddin Sidek) adalah calon yang popular sekarang ini. Beliau telah diamanahkan sebagai Ketua Penerangan DPPN Melaka sessi lalu. Beliau juga telah bertanding dalam PRU-11 lalu iaitu kerusi DUN Serkam. Selain itu beliau juga merupakan Ketua DPPK Jasin dan Mudir Madrasah Ar-Rahmah Solok Gaung.

Seorang lagi calon yang disebut-sebut layak untuk memegang amanah besar ini ialah Sdr. Adly Zahari, seorang anak jati Durian Tunggal yang pernah bertugas sepenuh masa dengan PAS Melaka dihujung-hujung tahun 90-an dulu. Beliau merupakan AJK DPPN Melaka sessi lalu. Selain itu beliau baru sahaja diamanahkan sebagai Ketua Penerangan PAS Kawasan Alor Gajah selepas mesyuarat agung PAS Kawasan itu baru-baru ini. Adly juga baru sahaja meletakkan jawatan beliau sebagai Jurutera MISC kerana ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan beliau. Semasa menuntut di UTM dulu beliau diamanahkan sebagai Presiden PMUTM dan PMIUTM.

Nampaknya kedua-dua mereka ini memang layak untuk mengepalai kepimpinan DPPN Melaka ini. Apa yang jelas DPPN Melaka sekarang ini telah bebas dari segala macam krisis yang pernah melanda dulu. Rata-rata AJK DPPN Melaka sekarang bersikap terbuka dan matang.

Satu lagi kekosongan jawatan dalam DPPN Melaka sessi baru ini ialah jawatan Naib Ketua yang sekarang ini disandang oleh Sdr Sofi Wahab. Beliau telahpun secara rasmi menolak pencalonan untuk jawatan Naib Ketua.

Maka terpulanglah kepada para perwakilan untuk memilih ketua mereka. Segalanya terjawab pada 15 Mei ini.


Burung pun tak selamat di bawah pemerintahan kerajaan Islam Hadhari


Melaka 4 Mei :Tiga belas ekor burung flamingo mati serta merta di tempat kejadian apabila 3 batang pokok besar tumbang dan menghempap burung-burung tersebut. Demikian kenyataan Timbalan Pengarah Zoo Melaka Ramlah Abdul Majid kepada AFP.

2 ekor lagi burung tersebut cedera, di mana seekor darinya mati Isnin lalu. Manakala seekor lagi diberitakan dalam keadaan kritikal. Peluang untuknya hidup amat tipis. Jelas Ramlah lagi.

Kesian burung-burung ini. Duduk kat Zoo pun tak selamat. Sepatutnya pihak Zoo kenalah memeriksa dan mengkaji samada pokok-pokok kat Zoo kuat atau tidak. Kita takut nanti bukan sahaja burung yang mati, orang yang melawat zoo pun kena hempap sama. Siapa nak bertanggungjawab. Jangan sampai dah kena baru nak ambil tindakan.

Kita syorkan Zoo Melaka tengok-tengoklah sikit mana-mana pokok yang macam nak tumbang tu cepat-cepat tebang, jangan dibiarkan menjadi ancaman kepada binatang dan pelawat zoo.

Kerugian akibat kematian burung-burung itu dianggarkan RM60,000. Ianya dibawa dari Tanzania. Siapa yang rugi. RM60,000 bukannya senang nak dapat.

Duduk bawah kerajaan Islam Hadhari ini semuanya tak selamat.


Laman web Perhubungan PAS Melaka diaktifkan kembali


Laman Web PAS MELAKA kembali berfungsi

Melaka 4 Mei : Laman web rasmi PAS Perhubungan Negeri Melaka, melaka.parti-pas.org kembali diaktifkan setelah sekian lama tidak berfungsi. Pengerusi Lajnah IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Tuan Haji Mohd Sharudin Yusuf menyatakan bahawa laman web ini telah lama sepi oleh kerana kekurangan tenaga penggerak. Namun atas usaha bersungguh-sungguh Lajnah IT negeri maka ianya dapat diaktifkan semula.

Sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk menggerakkan laman web ini supaya ianya sentiasa melaporkan berita-berita terkini dan tepat. Insya Allah kita akan cuba membuat perubahan kepada laman web ini supaya ianya lebih menarik.

Selain-lain dari berita-berita terkini, laman web ini juga mempunyai ruangan iklan ceramah di sekitar negeri Melaka untuk makluman ahli-ahli dan penyokong PAS. Sementara itu salah seorang pencinta internet, Sdr. Moazzar Mansor menyatakan kesyukuran beliau diatas kelahiran semula laman web ini. Menurutnya ini adalah petanda baik kepada PAS Melaka para petugas Parti dari setiap lajnah telah mula menggerakkan semula lajnah masing-masing setelah 'pengsan' selepas pilihanraya lalu. Kelahiran semula laman web ini menunjukkan bahawa para petugas parti khususnya Lajnah IT telah kembali bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja Islam ini.


Dr. Khatijah kekal ketua DMP Melaka


Melaka 4 Mei : Ketua Dewan Muslimat Negeri Melaka, Dr.Hajah Khatijah Jumangat telah dipilih semula sebagai Ketua DMP negeri Melaka setelah beliau menang tanpa bertanding pada Muktamar DMP negeri Ahad lalu.

Selain itu Timbalan Ketua DMP Negeri sessi lalu, Pn Sofiah Ahmad juga menang tanpa bertanding bagi jawatan yang sama. Bagi jawatan Naib Ketua pula, Puan Aziah Abdullah telah mendapat kepercayaan perwakilan dengan mengenepikan 2 calon lain.

Beberapa orang AJK DMP sessi lalu juga turut dipilih antaranya Setiausaha sessi lalu, Puan Kintan Man, Bendahari Sdr Fadzilah Ismail, Ustazah Noraini Sidek, Puan Mahani Othman Basir dan beberapa yang lain.

Muktamar yang dirasmikan oleh AJK DMP Pusat, YB Senator Siti Zailah Yusof itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan jika dibandingkan dengan Muktamar tahun lalu. Ianya telah diadakan di Pejabat Perhubungan PAS Melaka di Semabok. Turut hadir sebagai pemerhati DMP Pusat ialah Sdri Aiman Athirah Al-Jundi.

Dalam ucapan perasmiannya, Senator Zailah menegaskan bahawa hanya dengan kekuasaan politik sahaja kemungkaran yang berleluasa sekarang ini dapat dicegah. Beliau mengajak para perwakilan dan pemerhati melihat situasi negara kita sekarang ini yang berada dalam keadaan sungguh tenat kerana gejala-gejala seperti maksiat, arak, judi dan penolakan Islam berlaku tanpa tegahan dari kerajaan.

Muslimat mestilah meningkatkan semangat perjuangan masing-masing demi untuk menyelamatkan ummah tegas beliau.


Satu lagi program melalaikan tajaan kerajaan Islam Hadhari


PAS Kawasan Bukit Katil kesal dengan kerajaan Islam Hadhari Pak Lah yang tidak serik-serik mengadakan program-program maksiat walaupun pelbagai gejala sosial melanda negara sekarang. Ini terbukti apabila satu program melalaikan ditaja oleh kerajaan Islam Hadhari malam tadi.

Laporan media massa hari ini melaporkan bahawa KL Music Fest yang berlangsung mulai semalam hingga 7 Mei ini akan memusatkan aspek pembangunan seni muzik kreatif dan kontemporari sebagai pengiktirafan kepada karyawan muzik profesional.


Ketua Setiausaha KeKKWa, Datuk Siti Azizah Abod berkata, festival bertemakan Muzik Merentasi Sempadan itu meletakkan muzik sebagai medium interaksi globalisasi mencakupi lapisan usia, bangsa dan fahaman politik.

“Tema program ini bersesuaian dengan visi dan misi kementerian dalam merakyatkan seni dan budaya Malaysia, selain menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pengembangan kesenian bertaraf antarabangsa,” katanya.

Festival itu juga, katanya mengetengahkan kumpulan muzik tempatan terbaik serta berpengalaman luas dalam bidang seni dan pernah mementaskan karya mereka di peringkat antarabangsa.

“Persembahan yang disediakan adalah gabungan muzik kreatif dan kontemporari yang dipersembahkan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang sepanjang lima hari festival berlangsung,” katanya.


Acara dibuka dengan Konsert Gala Perasmian KL Music Fest yang dirasmikan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Konsert itu dijayakan kumpulan muzik profesional seperti Aseana Percussion Unit, Steve Thornton Quartet, Kopratasa, Alonso & Jazz Latino, Prana , Tuku Kame dan Amir Yusof.

Ia disusuli dengan Konsert Malam yang menampilkan persembahan tiga atau empat kumpulan terpilih sepanjang 4, 5 dan 6 Mei di Istana Budaya.

Acara kemuncak iaitu Konsert Gala Penutup akan disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hashim pada 7 Mei ini, jam 8.30 malam.

Program di atas sebenarnya hanya membazirkan duit rakyat disamping ianya mengundang gejala-gejala negatif seperti melalaikan anak muda, percampuran bebas dan sebagainya.

PAS Kawasan Bukit Katil merasakan kerajaan Islam Hadhari yang menerajui Malaysia sekarang ini sebenarnya hilang arah tujuan kerana mereka tidak faham apa yang penting dan tidak penting. Sepatutnya duit yang digunakan oleh Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan (KeKKWA) untuk program ini disalurkan kepada program lain yang lebih jauh manfaat kepada masyarakat.


Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Melaka




Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59