Tuesday, 26 April 2005

LAGI PANDANGAN ROSLAN SMS TENTANG PENCALONAN DR MARIAH


PENCALONAN DR SITI MARIAH:
ADAKAH TOK GURU TURUT BERKEMPEN?

Berita pencalonan Dr. Siti Mariah sebagai calon Naib Presiden PAS oleh Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dalam Mesyuarat Perhubungan PAS Kelantan masih hangat diperkatakan. Terbaru PAS Kawasan Tebrau merupakan kawasan PAS yang pertama yang menyahut seruan Tok Guru itu dan mencalonkan Dr Siti Mariah sebagai salah seorang calon Naib Presiden.

Perkembangan terbaru dalam PAS ini sungguh menarik tambahan ianya dipelopori oleh Tok Guru sendiri yang pada pandangan ramai kumpulan liberal sebagai seorang yang ultra konservatif dan meminjam kata-kata Azalina Othman, Nik Aziz ini jenis orang yang tidak membaca.

Dalam hal wanita Nik Aziz sering dicap sebagai sexist dan kolot, dengan perkembangan terbaru ini apa pula agaknya jolokan yang nak diberikan terhadap beliau?

Walaubagaimanapun bagi PAS sendiri, perkembangan terbaru ini sungguh tidak diduga oleh banyak pihak namun rasanya akan dapat diterima dengan baik, kerana bukankah PAS menerima konsep kepimpinan ulamak.

Bagi pihak yang sangat sensitif terhadap isu berkempen dalam pemilihan parti, apakah tindakan Tok Guru ini boleh disamakan dengan berkempen?

Bagi saya Tok Guru sekadar mengamalkan haknya di dalam parti yang turut dimilki oleh mana-mana ahli PAS yang lain iaitu untuk mencalon dan mencadangkan mana-mana pemimpin yang difikirkan layak. Dalam hal ini Tok Guru merasakan Dr. Siti Mariah layak untuk dipertimbangkan, lalu dicadangkan untuk turut dicalonkan. Adakah itu berkempen?

Kalau ada pihak yang mengitilahkannya sebagai kempen sekalipun, saya rasa ianya masih dalam batas-batas Islam dan tidak sebagaimana kempen yang diamalkan oleh gerakan ataupun kumpulan sekular.

Dalam hal ini saya kagum dengan pandangan jauh Tok Guru ke arah memartabatkan PAS dan saya turut setuju dengan justfikasi politiknya. Saya yakin ahli-ahli PAS lain turut begitu.


KOMEN SDR ROSLAN SMS TENTANG RESPONSE UMNO KEPADA PENCALONAN DR MARIAH


TOK GURU CALONKAN DR SITI MARIAH
BANYAK PIHAK GUSAR

Akhbar tempatan hari ini memuatkan berita PAS Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat mencadangkan agar salah satu daripada tiga pencalonan Naib Presiden diberikan kepada Dr. Siti Mariah Mahmood sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan pengorbanan muslimat PAS.

Menurut laporaan Tok Guru mahu PAS mendahului Umno dalam memberikan muslimat tempat dinombor tertiga yang tertinggi dalam parti. Menurut sejarah tidak pernah seorang pun calon wanita menyandang jawatan Naib Presiden Umno.

Dengan langkah ini bermakna tidak benarlah suara-suara yang sering mengatakan bahawa wanita dalam PAS sentiasa didiskriminasi dari segi kedudukan dan taraf.

PAS merasakan perlu angin perubahan besar berlaku dalam parti disemua peringkat setelah mengalami kekalahan dalam pilihanraya umum lalu, dan tindakan Kelantan ini dikira sebagai salah satu tenaga ke arah perubahan itu.

Proses pemilhan parti menjelang muktamar parti pada bulan Jun nanti juga sedang menyaksikan banyak perubahan-perubahan baru. Antaranya bagi jawatan Timbalan Presiden, kawasan-kawasan memberikan pencalonan kepada lebih dari seorang calon secara terbuka. Dan sementara itu proses pemilihan diperingkat mesyuarat agung kawasan juga menyaksikan ada kawasan-kawasan yang mengambil sikap lebih terbuka dan telus. Contohnya ada kawasan yang tidak lagi menyerahkan pencalonan bagi jawatan tertinggi parti kepada AJK kawasan, sebaliknya membuka peluang kepada para perwakilan membuat pencalonan dalam mesyuarat terbuka seperti di Kelana Jaya dan Shah Alam.

Trend dan perkembangan positif ini membuktikan kedewasaan dan kematangan PAS dan ahli-ahlinya. Sekiranya ia dilakukan secara jujur dan ikhlas demi memartabatkan parti dan perjuangan bagi mencapai cita-cita besarnya, insyallah ianya menunjukkan suatu perkembangan yang baik dan perlu dizaman yang serba mencabar ini.

Cuma Wanita dan Puteri Umno sahaja yang nampak tidak senang apabila dimaklumkan darihal perkembangan ini. Melalui Buletin Utama TV3 semalam Ketua Puteri Noraini Ahmad mempersoalkan mengapa baru kini PAS sibuk-sibuk mahu memberi tempat pada muslimatnya. Bagi beliau PAS sudah tidak relevan, cuma Umno sahaja yang relevan dan sesuai.

Tan Sri Aishah Ghani, veteran wanita Umno pula berkata, PAS sudah tidak ada modal, dia dah ditolak oleh rakyat dan kini sudah kehabisan modal dan isu.

Walaupun berbeza pendirian politik tetapi atas isu wanita, kalau PAS mahu menaikkan martabat muslimatnya sepatutnya Puteri dan Wanita Umno berikan galakkan dan sokongan. Jangan pandang negatif atas semua perkara yang berkait dengan PAS, tunujkkanlah kematangan sikit. Tambah-tambah kalau dah veteran macam Aishah Ghani tu.

Aishah Ghani jangan lupa sejarah (kalaupun Ketua Puteri nampak macam tak tahu sejarah politik tanahair). PAS pernah memberikan tempat kepada bekas Ketua Kaum Ibu Umno (kini Ketua Pergerakan Wanita Umno) yang dipecat oleh Umno diambang kemerdekaaan tahun 1957 lalu. Beliau adalah kawan baik Aishah sendiri iaitu Allahyarham Khatijah Sidek. Umno tendang keluar Khatijah setelah beliau menaburkan jasa dan khidmat kepada parti. Akhirnya PAS menerima beliau dan beliau bertanding dan menang dalam pilihanraya umum pertama di parlimen Dungun.

Bermakna langkah PAS kini sebenarnya bukanlah baru, Cuma diperbaharui kembali. Syabas Mursydiul Am PAS yang membuktikan ulamak tidak pernah meminggirkan muslimat malah menghargai dan menghormati kedudukan mereka. Samada Dr Mariah akan berjaya atau tidak pada muktamar kelak terpulanglah kepada para perwakilan, sekurang-kurangnya perubahan kearah kebaikan sebenarnya sedang berlaku dalam parti, itulah yang paling penting.

Mudah-mudahan berjaya insyallah.


PROGRAM KEM EXPLORACE DMP MELAKA MENDAPAT SAMBUTAN YANG MENGGALAKKAN


Bukit Katil (26 April 2005) : Kem Amal 'Explorace' anjuran DMP Negeri Melaka baru-baru telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila ianya telah disertai oleh 138 perserta dikalangan remaja berumur antara 13 dan 18 tahun.

Program yang julung kali diadakan oleh Unit Amal Nisa Wal Banat Melaka ini telah dirasmikan oleh Puan Muna Izzah Dato' Hj. Fadzil. Antara pengisian program yang dijalankan ialah ceramah motivasi, ceramah agama disamping pertandingan berkumpulan ala 'explorace'.

Menurut Ketua Amal Nisa' negeri, Puan Mahani Osman Basir, sambutan yang menggalakkan ini sungguh diluar dugaan lebih-lebih lagi sekarang ini remaja Islam lebih cenderung kepada program-program berbentuk keseronokan semata-mata. Tetapi nampaknya remaja Islam semakin sedar bahawa hiburan yang melalaikan sebenarnya hanyalah keseronokan sementara sahaja.

Salah seorang remaja yang ditemui iaitu Adik Faezah Hj. Bakrin, 14, menyatakan bahawa beliau sangat berpuashati dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam program ini. Disamping acara explorace yang ternyata menghiburkan program-program lain seperti ceramah motivasi dan ceramah agama juga telah memberi kesan yang mendalam kepada beliau, jelas Faezah dengan bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Dr.Khatijah Jumangat Ketua DMP Negeri Melaka telah menyatakan kesyukuran beliau di atas kejayaan program ini. Beliau menyatakan kejayaan ini telah menyuntik semangat DMP Negeri untuk terus mendekati remaja demi untuk menyelamatkan mereka dari terjerumus ke kancah hiburan liar yang melampau. Beliau menyatakan demikian berucap ketika menutup program ini di perkarangan tapak program di Sekolah Ar-Rahmah, Solok Gaung.


SEMUA KETUA PEMUDA KAWASAN DI MELAKA KEKAL


Melaka, 20 April 2005 : Kesemua Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan-Kawasan di Melaka mengekalkan jawatan masing-masing. Mereka ialah Tuan Haji Salamat Aman, Bukit Katil; Mohd Ashrof, Alor Gajah; Shaufee Othmani, Tangga Batu; Us. Kamaruddin Sedik, Jasin; Us.Imran Abdul Rahman, Masjid Tanah dan Azizan Nordin, Kota Melaka.

Hampir kesemua jawatan-jawatan tersebut dimenangi tanpa bertanding kecuali Kawasan Bukit Katil.

Apa yang menarik perhatian ialah, kehadiran perwakilan dan permerhati dalam kesemua mesyuarat agung pemuda kawasan ialah amat menggalakkan berbanding tahun lalu. Ini menunjukkan bahawa semangat pemuda-pemuda PAS telah kembali pulih.

Sementara itu kemungkinan besar kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka akan berubah kerana beberapa pemimpin DPPN telah menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan jawatan masing-masing. Setakat ini Ketua DPPN Sdr. Azrin Majeed dan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri, Sdr. Sofi Wahab telahpun menyatakan masing-masing untuk tidak mempertahankan jawatan mereka.

Beberapa pemimpin pemuda Kawasan dan Cawangan ketika ditemui menyatakan bahawa perubahan kepimpinan pemuda negeri tidak akan mencacatkan perjuangan DPP Melaka kerana beberapa pemimpin pelapis telah bersedia mengambilalih kepimpinan DPP Melaka. Ketua Pemuda PAS Cawangan Taman Merdeka, Bukit Katil, Sdr Mohd Moazzar Mansur menyatakan bahawa program pertarbiahan dan pengkaderan yang telah dijalankan selama ini telahpun membuahkan hasil yang baik di mana beberapa pemimpin yang berpotensi telah dikenalpasti untuk menyahut amanah ini, tegas beliau yang juga merupakan AJK DPP Kawasan Bukit Katil.

Antara nama-nama yang disebut akan mengambilalih kepimpinan utama DPPN Melaka ialah Us. Kamaruddin Sedik, Ketua Penerangan DPPN Melaka sekarang ini dan Sdr. Adly Zahari Exco DPPN Melaka sekarang.

Sementara itu Mesyuarat Agung DPPN Melaka akan diadakan pada 15 Mei 2005 jam 9.00 pagi bertempat di Pejabat Perhubungan PAS Melaka di Semabok. Sehubungan dengan itu, Setiausaha DPPN Melaka Sdr Haroon Mohd, meminta semua DPP Kawasan menghantar senarai perwakilan dan pencalonan masing-masing sebelum 26 hb. April 2005. Mesyuarat Agung ini akan dirasmikan oleh Naib Ketua DPP Pusat Us. Misbahul Munir Masduki.


YDP Bukit Katil & Tangga batu kekal, Jasin & Kota Melaka dapat YDP baru


Melaka 25 April : YDP PAS Kawasan Bukit Katil, Cikgu Mat Yassin Abdul Ghani mengekalkan jawatannya dalam mesyuarat agung PAS Kawasan semalam. Beliau telah dipilih sebagai YDP PAS Kawasan setelah calon-calon YDP yang lain menarik diri. Mesyuarat Agung Kawasan Bukit Katil yang dijalankan di Kg. Solok Gaung itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung PAS Pusat, Us. Nasharuddin Mat Isa.

Jawatang Timbalan Yang Dipertua pula disandang oleh Tuan Haji Bakrin Sidek setelah penyandang jawatang sessi lalu Tuan Haji Mohd Diah Abdul tidak mempertahankan jawatannya. Turut dipilih didalam mesyuarat agung ini ialah Us. Abu Bakar Ramli sebagai Ketua Urusan Ulamak serta 16 orang AJK iaitu Sdr. Sofi Wahab, Puan Norisah Nordin, Hj. Salim Tahir, Haji Mohd Diah Abdul, Sdr. Mustaffa Ali, Sdr. Bahari Ramli, Sdr. Ramli Dalip, Puan Mahani Osman Basir, Sdr. Mazrab Kanan, Cikgu Samat Mohd, Haji Ab Rahim Idris, Sdr. Amran Kassim, Haji Yassim Musa dan Haji Mohd Nor Jaafar,

Jawatan Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat yang dipilih di dalam Mesyuarat Agung masing-masing baru-baru ini telah disandang oleh Tuan Haji Salamat Aman dan Dr. Hajjah Khatijah Jumangat.

Kota Melaka dan Jasin dapat YDP baru.

Sementara itu PAS Kawasan Kota Melaka mendapat YDP baru apabila Bekas Timbalan YDP sessi lalu, Us. Abdul Rahman Jaafar dipilih oleh perwakilan di dalam mesyuarat agung PAS Kawasan pagi semalam. Sebelum ini jawatang YDP ini disandang oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Cikgu Yusuf Wahab.

Manakala Jawatang Ketua Pemuda pula disandang oleh Sdr. Norazizan Nordin yang mengekalkan jawatang yang disandangnya sessi lalu.

PAS kawasan Jasing juga mempunyai YDP yang baru setelah YDP sessi lalu Us. Mujahid Yusof tidak mempertahankan jawatannya setelah beliau pulang ke negeri asalnya Pulau Pinang awal tahun ini. Dalam mesyuarat agung yang berlansung semalam, bekas YDP PAS sessi 2001/2003 Mejar (B) Jasme Tompang telah dipilih semula sebagai YDP setelah beliau menang tanpa bertanding dalam pemilihan tersebut. Jawatan Ketua Pemuda Kawasan pula di sandang oleh Us. Kamaruddin Sedik.

YDP PAS Tangga Batu Kekal

Jawatan YDP Kawasan Tangga Batu kekal disandang oleh Us. Khamis Saat. Beliau telah menang tanpa bertanding di dalam mesyuarat agung yang berlangsung baru-baru ini. Manakala jawatan Ketua Pemuda di sandang oleh Sdr. Saufee Othman.

Sementara itu, kesemua empat kawasan telah mengadakan mesyuarat agung belum lagi membuat pencalonan untuk jawatan-jawatang PAS Pusat. Manakala dua kawasan lagi iaitu Masjid Tanah dan Alor Gajah akan mengadakan mesyuarat agung masing-masing penghujung April dan awal Mei ini.




MENTALITI PEMBIKIN MELAYU PERLU PERUBAHAN


Dipetik dari Email Musa Nor Hamdah

Apa yang menyedihkan tentang filem melayu ialah mentaliti para pengarah,
penulis skrip/lakonlayar, pelakon dan khalayak
penontonnya sahaja yang dirasakan masih 'lemau'. Apa
yang saya maksudkan di sini ialah kejahilan mereka
apabila mana-mana produk filem atau drama yang
diadunkan dengan 'resipi' agama ternyata mendedahkan
sikap 'jahil lagi menjahilkan'.

Tentunya hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat
'Islam Hadhari' yang berteraskan ilmu pengetahuan
terbantut kerana fenomena 'pengarah filem Melayu
jahil'! Tuduhan ini bukannya tidak berasas kerana
terbukti filem atau drama berperanan sebagai medium
yang mampu mempengaruhi peta pemikiran masyarakat.
Bagi saya tentunya pembangunan masyarakat 'Islam
Hadhari' yang berteraskan ilmu pengetahuan tidak
sekali-kali mengetepikan ilmu agama khususnya agama
Islam.

Bagaimana agaknya mentaliti masyarakat sekiranya
disumbat dengan anasir 'kejahilan dan kedangkalan'
filem tempatan apabila ianya bersangkut dengan perkara
hukum-hakam dan akhlak Islam.

Saya cuba mengajak para pembaca meneliti beberapa
contoh berikut:

Filem: Berlari ke Langit (2004)
Terbitan: Tayangan Unggul Sdn. Bhd
Arahan dan lakonlayar: Bade Hj. Azmi

Watak Indra (Rosyam Nor) sedang berdoa, kemudian Indra
bersalam dengan adik lelakinya, Iman (adik Danial
Hazly). Mereka kelihatan baru selesai mengerjakan
solat Subuh berjemaah. Anehnya sebagai makmum, Iman
berada di sebelah kiri abangnya.

Di sini tampak jelas dua kemungkinan, sama ada telah
berlaku kesilapan semasa penggambaran atau pun
pengarah filem ini seorang yang jahil berkenaan ilmu
fekah. Bagaimana seorang makmum lelaki boleh berada di
sebelah kiri imam? Tidakkah ada seorang pun di set
penggambaran yang mampu menegur kelemahan yang terlalu
ketara ini?

Selesai itu Indra pun berjalan mendekati jendela lalu
memandang ke luar, kedengaran suara Indra berkata
kepada dirinya, "Lambat lagi nak masuk Subuh ..."
sedangkan shot ketika itu dengan jelas menunjukkan
telah terbit fajar sadiq, tanda telah masuk waktu
Subuh.

Persoalannya ialah adakah Indra dan adiknya tadi
sedang mengerjakan solat tahajjud atau yang
dimaksudkan oleh Indra dengan 'subuh' ialah 'pagi'?

Bolehkah makmum lelaki berada di sebelah kiri imam
tanpa sebab? Masalah ini terjawab melalui sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. yang bermaksud:


"Aku telah bersolat bersama-sama Nabi S.A.W di suatu
malam, maka aku berdiri di sebelah kirinya (Rasulullah
S.A.W) lantas Rasulullah S.A.W memegang kepalaku dari
arah belakang lalu meletakkan aku ke sebelah kanan
baginda". (H.riw. al-Bukhari dan Muslim)


Hadis ini menunjukkan bahawa kedudukan yang betul bagi
seorang makmum adalah di sebelah kanan (apabila solat
berjemaah itu didirikan secara berdua). Perbuatan Nabi
S.A.W memindahkan Ibnu Abbas r.a. menunjukkan
kedudukan yang betul di dalam solat sama ada solat
fardhu atau pun sunat.

Putar-belit hukum agama

Satu lagi ketelanjuran yang tidak dapat dimaafkan
ialah kejahilan penulis lakonlayar, pengarah, para
pelakon dan mereka yang terlibat dalam produksi filem
ini dalam memutar-belitkan hukum hakam agama.

Dalam satu babak yang lain kelihatan sepasang kekasih
iaitu Indra dan Cikgu Yasmin (Fasha Sandha) sedang
duduk berbual-bual di lereng bukit yang mengadap laut
luas.

Sedang mereka berbual-bual dan bergelak ketawa
tiba-tiba muncul beberapa orang lelaki berjubah dan
berserban yang diketuai oleh Bukhari (suami kepada
Zulhijjah - bekas kekasih Indra) sedang menghampiri
mereka. Sebaik menjawab salam Cikgu Yasmin, Bukhari
(Hasnul Rahmat) dengan tegas telah berkata:

Bukhari: Inikah yang dinamakan cinta? Seorang gadis
yang bergelar guru, dianggap mulia dari segi agama
berdua-duaan bersama seorang lelaki yang bukan
muhrimnya di tempat yang tiada manusia lain.

Yasmin: Mungkin tempat indah ini diciptakan Tuhan
untuk insan seperti kami, yang tahu mengguna ke arah
kebaikan.

Bukhari: Apa yang anti (awak) boleh dapat di sini
melainkan membuat keburukan?

Indra: (Bangun lalu berdiri menghadap Bukhari) Apa
benda yang kami buat?

Bukhari: Apa lagi kalau bukan dua orang yang ...

Yasmin: Cuma orang yang berjiwa halus tahu menghargai
ciptaan Tuhannya. Tengok kecantikan sekeliling kamu
ni. Apa yang kamu nampak?

Bukhari: Anti (awak) tak perlu mengajar ana (saya).
Haram tetap haram!

Yasmin: Siapa yang berkata begitu? Bukankah Tuhan saja
yang berhak menjatuhkan hukum itu?

Bukhari: Anti (awak) tahu apa yang anti (awak) cakap?
Tahu?

Yasmin: Ayah saya seorang guru agama di Universiti
Islam di Madinah dan saya mempunyai ijazah dari UIA.
Saya faham sangat hal-hal hukum agama Islam ni. Tapi
kalau kamu semua bersusah payah panjat bukit ni
semata-mata nak menjatuhkan maruah kami ...
terserahlah. Sebab tiada yang jahat yang kami lakukan
di sini selain menikmati keindahan ciptaan Tuhan, dan
Indra pun telah melamar saya dan saya menerimanya.

Tiba-tiba muncul adik lelaki Indra, Iman dari bawah
bukit lalu berkata sesuatu. Bukhari dan teman-temannya
tersipu-sipu lalu beredar dari situ kerana ternyata
Indra dan Cikgu Yasmin tidak 'berdua-duaan' tetapi
'bertiga-tigaan'.

Meloyakan benak

Dialog-dialog seperti ini tentunya memualkan dan
meloyakan benak orang-orang yang masih ada sensitiviti
terhadap agama. Sungguh aneh! Kedangkalan hujah Yasmin
tidak dapat dijawab oleh Bukhari dan teman-temannya.

Bolehkah diterima hujah 'melihat keindahan alam' dapat
mengharuskan dua insan yang tiada ikatan pernikahan
untuk duduk bermesra-mesraan sekali pun ada orang yang
ketiga (seorang budak bermain jauh dari tempat
tersebut)?

Adakah keputusan Yasmin menerima lamaran Indra dapat
menghalalkan mereka bebas ke sana sini sebelum ada
ikatan yang sah (nikah)? Adakah dengan hanya
menyatakan ayahnya seorang guru agama di Universiti
Islam Madinah dan ijazah UIA kepunyaan beliau dapat
menjadi hujah untuk menghalalkan yang haram? Adakah
munasabah bagi seorang gadis yang memiliki kelulusan
dan mengetahui hukum-hakam agama Islam seperti Yasmin
untuk mendedahkan aurat dan berpeluk-peluk dengan
kekasihnya Indra (lihat di penghujung filem)?

Adakah para ahli akademik, mahasiswa-mahasisiwi di
Universiti Islam Madinah dan UIAM tidak merasa terhina
kerana nama baik institusi pengajian mereka
dipermainkan oleh mereka yang bankrap jiwa ini?

Saya berpendapat mungkin bentuk 'Islam' yang difahami
oleh pengarah dan pelakon filem ini (Fasha Sandha)
dapat dinilai melalui rambutnya yang terbuai-buai
ditiup angin, baju yang mendedahkan dada dan kain yang
terbelah! Semua itu HALAL kerana ayahnya seorang guru
agama di sebuah Universiti Islam yang terkemuka?

Yasmin (Fasha) ada melontarkan satu soalan, "Siapa
yang berkata begitu? Bukankah Tuhan saja yang berhak
menjatuhkan hukum itu?"

Ya! Allah Azza wa Jalla telah berfirman (yang
bermaksud): “Dan janganlah kamu menghampiri zina,
sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji
dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”
(al-Israa’ : 32)

Al-Hafiz Ibnu Kathir r.h. telah menafsirkan ayat ini
dengan berkata bahawa ayat ini merupakan larangan dan
tegahan Allah Azza wa Jalla terhadap hambaNya akan
perbuatan zina serta melarang menghampirinya (zina)
yang merupakan perkara-perkara penyebab dan pendorong
untuk melakukan zina.

Yang dimaksudkan menghampiri zina di sini ialah
perkara-perkara yang menjadi penyebab kepada zina
seperti lelaki dan perempuan yang bukan muhrim
bergurau senda, bergaul dan berhubung di antara lelaki
dan perempuan tanpa sebab-sebab yang dihalalkan oleh
syarak, berbual-bual dengan perkara-perkara yang
menaikkan syahwat dan sebagainya.

Sekat jalan kemungkaran

Islam meletakkan kaedah ‘saddu zarai`e’ - menyekat
segala jalan yang mendorong kepada berlakunya
satu-satu kemungkaran. Mungkin pada pengarah dan
penulis lakonlayar filem ini, perbuatan Indra dan
Yasmin tidak HARAM, tetapi SUNAT kerana mereka hanya
menghayati keindahan alam.

Sebenarnya kecenderungan para karyawan filem tempatan
untuk memberi imej buruk kepada golongan yang
'berserban dan berjubah' dan mengangkat golongan
'rendah akhlak' yang dominan dan terbanyak bukanlah
fenomena baru!

Sebahagian karyawan filem Melayu begitu cenderung
untuk menampilkan Islam yang kononnya liberal. Isteri
kepada pengarah filem ini iaitu Erma Fatima juga
pernah cuba memainkan sentimen tersebut di dalam
filemnya - Perempuan Melayu Terakhir (1999). Pengarah
Aziz M. Osman telah mendahului lebih awal di dalam
filemnya - Fenomena (1990).

Lihat pula bagaimana imej Islam yang digambarkan di
dalam Puteri Gunung Ledang (2004). Tentera kerajaan
Demak (tentera Islam berpakaian serba putih) menyerang
penduduk kampung yang ketakutan dan membakar
rumah-rumah dalam jajahan Majapahit apabila penguasa
Kadipaten-Majapahit, Gusti Adipati Handaya Ningral
(Alex Komang) menolak tawaran Sultan Demak supaya
menerima kerajaan Demak sebagai pelindungnya.

Di penghujung adegan sadis itu, Pangeran Benowo (Azmil
Mustaffa) yang memimpin tentera tersebut, kelihatan
puas dengan serangannya. Lihat pakaian Pangeran Benowo
yang begitu segak memacu kuda dengan jubah hitam dan
serban putih sambil menghunus pedang. Lihat juga
keangkuhan Pangeran Benowo ketika berhadapan dengan
Laksamana Hang Tuah. Mungkin untuk meraih perhatian
antarabangsa (menyertai Academy Award), penerbit dan
pengarah filem ini terlupa pada sensitiviti masyarakat
Malaysia yang majoritinya beragama Islam. Tahniah
kerana menghidangkan gambaran ‘Islam yang ganas’ di
peringkat antarabangsa!

Islam tidak pernah mengajar budaya ‘barbaric’ dalam
peperangan. Banyak hadis-hadis yang menerangkan
adab-adab dalam peperangan. Di antaranya hadis dari
Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah
bersabda: “Bertolaklah kamu (ke medan jihad) dengan
nama Allah dan dengan Allah serta di atas agama
Rasulullah dan jangan kamu membunuh orang tua yang
lemah, kanak-kanak dan bayi serta perempuan dan
janganlah kamu melampaui (dalam pengambilan harta
rampasan sebelum ianya dibahagikan) dan hendaklah kamu
menghimpunkan harta-harta rampasan kamu serta
perbetulkanlah (segala urusan kamu) dan berbuat
baiklah (sesama kamu) sesungguhnya Allah menyintai
orang yang berbuat kebaikan.” (Hadis riwayat Abu Daud)


Daripada Abdullah r.a bahawa seorang perempuan telah
dijumpai terbunuh di dalam beberapa peperangan
Rasulullah s.a.w maka Rasulullah s.a.w membantah
pembunuhan ke atas perempuan dan kanak-kanak. (Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Hanzalah al-Katib r.a berkata: “Kami telah
berperang bersama Rasulullah s.a.w maka kami telah
melalui di (tempat) perempuan yang dibunuh yang
dikerumuni oleh orang ramai lalu mereka berpecah
(disebabkan kedatangan Rasulullah s.a.w) maka
(Rasulullah s.a.w) bersabda: “Mengapa perempuan ini
dibunuh dan siapa yang membunuhnya?”, kemudian
(Rasulullah s.a.w) berkata kepada seorang lelaki:
“Pergilah kamu kepada Khalid bin Walid dan katakanlah
kepadanya bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w
menyuruh kamu dengan berkata: “Janganlah kamu membunuh
zuriat (wanita-wanita dan anak-anak kecil) dan
‘a’siif’ (pekerja yang dibayar upah)”. (Hadis riwayat
Ibnu Majah)

Perkataan “A’siif” bermaksud para pekerja yang dibayar
upah bagi sesuatu pekerjaan dan juga para petani dan
para pekerja pembinaan. Perlu ditegaskan di sini,
peperangan dalam Islam bukanlah untuk memusnahkan
bangunan dan harta benda. Hal ini boleh dirujuk dalam
kitab ‘al-‘Ilaqaat ad-Dauliah Fil-Islaam, karangan
Syeikh Muhammad Abi Zuhrah.

Perempuan Melayu Terakhir

Kembali kepada Perempuan Melayu Terakhir (1999), di
antara dialog yang diungkapkan dalam filem ini ialah
Mustika (Vanida Imran) cuba mempersoalkan pendirian
tunangnya Engku Leh (Azri Iskandar) tentang Islam:
"Adakah bertudung litup, itu baru Islam pada pandangan
abang?"

Walaupun watak Engku Leh digambarkan sebagai seorang
yang tidak waras dan ekstremis dengan ratib yang tak
henti-henti dan menghunus senjata di tepi tasik (satu
lagi wajah Islam yang mengelirukan), itu bukan hujah
untuk mewajarkan dialog yang sebegitu biadap!

Dalam filem tersebut, watak Mustika dilihat sering
menghabiskan masa bersama Heikal (Eizlan Yusof) yang
menambahkan lagi konflik di antaranya dan Engku Leh.
Mustika adalah seorang pencinta seni tarian kebudayaan
dan mampu menyesuaikan diri dengan arus kontemporari -
simbol wanita Melayu moden.

Mungkin bagi Erma Fatima, seorang ‘wanita Melayu Islam
yang sejati’ ialah perempuan yang tidak menutup aurat,
yang mengkhianati tunangnya (lihat adegan berahi di
antara Mustika dan Heikal di dalam filem ini).

Dialog-dialog di antara Heikal dan Mustika yang sarat
berbaur falsafah, mitos Hindu, hipotesis kemelayuan
yang kabur – Erma dilihat cuba juga untuk menyelitkan
subjek keagamaan yang kontang daripada roh Islam yang
sebenar sehingga terasa Erma seakan memandai-mandai!

Aziz M. Osman pula menggambarkan yang orang-orang
'berserban dan berjubah' sebagai golongan yang jumud
dan melampau apabila membantah "konsert amal" yang
dijayakan oleh Isabella (Ramona Rahman) dan Suhaimi
(Amy Search) demi untuk menampung kos pembedahan
jantung anak perempuan kepada Azlan (M.Nasir).

Kelodak filem Melayu
Yang demikian hanyalah sedikit contoh yang dapat saya
ceduk daripada kelodak dan lumpur filem-filem Melayu.
Tentunya para pembaca dapat memberikan contoh-contoh
lain yang lebih meloyakan lagi.

Sebagai contoh, perhatikan dialog ‘Islamik’ Erra
Fazira dalam Pasrah (2000).

Persoalannya mengapa mereka terlalu prejudis terhadap
golongan yang berimej agama dalam memberi ‘wajah
Islam’ yang lain? Adakah ianya sebagai satu eskapisme
untuk menutup kebejatan moral golongan yang mengambil
mudah soal menutup aurat, golongan yang rendah akhlak,
penganut ‘liberalisme’ kabur dan sejumlah besar lagi
bentuk budaya hedonisme yang jelas-jelas bertentangan
dengan nilai-nilai agama dan budaya kita masyarakat
Timur?

Perbuatan memberikan gambaran yang salah tentang Islam
ini mestilah dihentikan dengan segera! Saya melihat
sekiranya tiada usaha untuk membendung gejala 'jahil
murakkab' ini, mungkin generasi 'Islam Hadhari' yang
bakal lahir nanti lebih berani lagi secara
terang-terangan menghalalkan zina dan seks bebas
kerana – 'menghargai nafsu yang dianugerahkan Tuhan'?

Fikirkan!


ISLAM HADHARI DIGUNAKAN UNTUK LENYAPKAN PERJUANGAN ISLAM PAS


Bukit Katil 25 April 2005 : Islam Hadhari yang dicipta oleh UMNO sebenarnya suatu slogan yang dicipta oleh UMNO untuk dijadikan senjata bagi mematikan perjuangan PAS. Perkara ini didedahkan oleh Setiausaha Agung PAS Pusat, Us. Nasharuddin Mat Isa ketika menyampaikan ceramah beliau di Markaz PAS Bukit Katil tadi.

Us. Nasharuddin menjelaskan beliau mempunyai bukti yang jelas bahawa perkara ini adalah benar. Antara lain jelas beliau, Islam Hadhari ini digunakan semata-mata untuk mengaburi mata rakyat supaya rakyat melihat bahawa UMNO juga mahukan Islam. Pada masa yang sama UMNO melabelkan Islam yang dibawa oleh PAS sebagai ekstrim, melampau, tiada toleransi dan ganas manakala Islam Hadhari lebih sederhana, berhikmah, mengajak kepada kemajuan dan sebagainya.
Beliau seterusnya mengajak rakyat Malaysia menilai sendiri apakah intipati Islam Hadhari tersebut. Adakah ianya bertepatan dengan system Islam yang sebenar. Ini kerana jelas beliau negara kita sekarang ini penuh dengan maksiat dan kemungkaran. Program-program konsert hiburan, pusat- pusat perjudian, pelacuran, Pub, Kelab Malam, Kilang-kilang arak dibiarkan tanpa pengawalan yang sewajarnya. Jenayah, penagihan dadah, rasuah dan sebagainya semakin-semakin hari semakin meningkat. Inilah pengisian dan hasil dari Islam Hadhari tegas Us. Nasharuddin lagi.

Turut berceramah bersama-sama Us. Nashasruddin pada tersebut ialah Sdr. Sofi Wahab, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka yang juga merupakan AJK PAS Kawasan Bukit Katil.

Sementara itu pada sebelah siangnya Us. Nasharuddin mempunyai jadual lawatan ke Melaka yang ketat. Pada sebelah pagi beliau telah merasmikan mesyuarat agung PAS Kawasan Bukit Katil di Solok Gaung, Ayer Molek. Manakala pada sebelah petang pula beliau merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Jasin.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59