Tuesday, 21 June 2005

MENTERI KESIHATAN PATUT LETAK JAWATAN


Berita kehilangan bayi di Hospital Sg. Petani semalam amat menyayat hati kita semua. Menurut berita yang dipetik dari Berita Harian, bapa bayi tersebut Mohamad Nordin, 34, pembantu gudang di sebuah kilang biskut di sini, tidak menyangka kejadian itu menimpa anak ketiganya, apa lagi pada Hari Bapa dan ketika bayi berkenaan diletakkan di wad penjagaan hospital.

"Saya belum pun sempat memangkunya, hanya mengazankan di telinganya dengan dibantu jururawat ketika kali kedua melihatnya jam 11 pagi semalam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Tanjung, Sungai Layar, pagi semalam.

Malah, isterinya, Norhayati Abu Bakar, 31, hanya sempat melihat bayi mereka beberapa minit selepas melahirkannya pada jam 8.32 pagi sebelum dipindahkan ke wad A4 bagi kerana menghadapi masalah pernafasan.

Pasangan itu menghadapi satu lagi masalah – bagaimana untuk memberitahu dua anak mereka, Mohamad Norsyazwan, 10, dan Mohamad Norsyamir, 5, yang sering bertanya bila adik mereka akan dibawa pulang ke rumah.

Mohamad Nordin berkata, ketika menghantar dokumen pendaftaran ke wad A4, dia melihat bayinya itu, yang dilahirkan secara normal seberat 3.6 kilogram dan cukup bulan, dipasang dengan alat bantuan pernafasan.

Selepas itu, beliau kembali ke wad isterinya sebelum pulang ke rumah untuk mengambil lampin dan datang semula ke wad jagaan yang dilihatnya turut dihuni tujuh bayi lain kira-kira jam 11 pagi.

“Ketika hantar lampin itu, saya lihat bayi saya tidak dipasang oksigen lagi selain diberikan susu oleh jururawat bertugas. Saya mengazankan anak saya itu tetapi langsung tidak memegangnya,” katanya, yang kali terakhir melawat bayi itu pada jam 1.30 petang sebelum pulang ke rumah.

Bagaimanapun, pada jam 2.45 petang, Hospital Sungai Petani menghubunginya meminta datang menemui pengarah dan dimaklumkan supaya bersabar kerana anaknya hilang dari wad kira-kira jam 2.20 petang.

"Bagaimana saya boleh bersabar. Saya dan isteri sangat kecewa dan kesal dengan kejadian yang berpunca daripada kecuaian hospital. Ini bukan kes hilang anak kucing tetapi hilang anak," katanya.

Laporan polis mengenai kejadian itu dibuat Pengarah Hospital Sungai Petani, Dr Harif Fadzilah Che Hashim pada jam 7.03 petang kelmarin manakala Mohamad Nordin pula membuat aduan pada jam 8.50 malam.

Mohamad Nordin berkata, beliau akan berbincang dengan keluarga sebelum memikirkan langkah selanjutnya termasuk kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital itu.

"Saya perlu menenangkan isteri kerana dia dalam tempoh berpantang selepas bersalin," katanya.

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil merasakan kes ini menyerlahkan satu lagi kelemahan sistem keselamatan di Hospital Awam Malaysia. Ini bukan kes pertama, kita pernah dikejutkan dengan kes darah yang mempunyai HIV, alat pembedahan tertinggal dalam badan pesakit, bayi yang lemas ketika bersalin dan sebagainya.

Dengan ini DPPK Bukit Katil dengan tegas menggesa menteri kesihatan yang bertanggungjawab kepada hospital meletakkan jawatan dengan serta merta kerana ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak berwibawa untuk menjamin keselamatan hospital dan juga cuai dalam menjalankan tugasnya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59